Khamis 09 September 2010
Saiz Teks
   

UNIVERSITI DAMSYIK (UNIVERSITY OF DAMASCUS)

AddThis Social Bookmark Button

UNIVERSITI DAMSYIK
UNIVERSITY OF DAMASCUS

(*maklumat terkini yang diperoleh Universiti tidak menerima permohonan pelajar luar negara/Malaysia)

PENGENALAN

1- Universiti Damsyik adalah satu-satunya universiti di Syria yang mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia (JPA & LAN).
2- Universiti ini berada di bawah pentadbiran dan penyeliaan Kementerian Pengajian Tinggi Syria (Wizarat Taalim ‘Ali).

*untuk keterangan lanjut mengenai pengiktirafan, sila layari www.jpa.gov.my
*untuk keterangan lanjut mengenai pengajian di Universiti Damsyik, sila layari
  www.damasuniv.shern.net


SYARAT-SYARAT KEMASUKAN

1- Permohonan hanya boleh dibuat dengan menggunakan sijil SPM/STAM/STPM sahaja.
2- Sijil tersebut mestilah sijil yang paling terkini.

Syarat-syarat kelayakan pada sijil SPM:

1- Mendapat sekurang-kurangnya KEPUJIAN (C5/C6) dalam mata pelajaran BAHASA ARAB TINGGI atau BAHASA ARAB KOMUNIKASI atau kedua-duanya sekali.
2- LULUS dalam semua mata pelajaran.

*untuk keterangan lanjut mengenai kelayakan peratusan sijil yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian
  Tinggi Syria, sila layari www.moufadaleh.org


BIDANG PENGKHUSUSAN

1- Fakulti-fakulti yang setakat ini dibuka kepada penuntut-penuntut Malaysia tajaan persendirian ialah :

a. Fakulti Sastera & Sains Kemanusiaan:
1. Jabatan Pengajian Bahasa Arab.
2. Jabatan Pengajian Bahasa Inggeris.
3. Jabatan Pengajian Bahasa Perancis.
4. Jabatan Pengajian Sejarah.
5. Jabatan Pengajian Geografi.
6. Jabatan Pengajian Falsafah.
7. Jabatan Pengajian Sains Kemasyarakatan.
8. Jabatan Pengajian Arkeologi.
9. Jabatan Pengajian Penyiaran.
10. Jabatan Pengajian Perpustakaan & Informasi.
11. Jabatan Pengajian Bahasa Jepun.

b. Fakulti Syariah Islamiyah:
1. Jabatan Pengajian Fiqh & Mazhab-mazhab.
2. Jabatan Pengajian Perundangan Am.
3. Jabatan Pengajian Ulum Quran & Sunnah. (Usuluddin)
4. Jabatan Pengajian Aqidah & Agama. (Usuluddin)
PENGAMBILAN PENGAJIAN

1- Permohonan bagi pengambilan penuntut baru ke Universiti Damsyik kebiasaan dibuka pada bulan Jun untuk penuntut-penuntut dari Syria dan pada bulan Ogos permohonan dibuka untuk penuntut-penuntut dari luar Syria.
2- Permohonan bagi pengambilan sesi baru penuntut-penuntut dari luar Syria tahun ini ditetapkan pada tarikh 01-15 Ogos 2005.
3- Setiap permohonan bagi kemasukan penuntut Malaysia tajaan persendirian dibuat melalui pihak Persatuan Pelajar Malaysia di Syria.
4- Sesi baru pengajian untuk semester pertama akan bermula pada bulan Oktober.


CARA PERMOHONAN

Setiap permohonan dibuat melalui prosedur berikut:

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA > Persatuan Pelajar Malaysia Syria  > Qiadah Qaumiah
(Pentadbiran Kebangsaan Parti Sosialis Arab Al-Baath) > Kementerian Pengajian Tinggi Syria (Wizarat Taalim ‘Ali) > keputusan dimaklumkan kepada Persatuan Pelajar Malaysia Syria

 

Untuk permohonan setiap sijil yang digunakan pemohon perlu dibuat:

Terjemahan sijil ke dalam bahasa Arab dengan pengesahan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Pengesahan setiap sijil asal & terjemahan sijil tersebut daripada pihak:

1. Kementerian Luar Malaysia
2. Kedutaan Syria di Malaysia


DOKUMEN YANG DIPERLUKAN UNTUK PERMOHONAN

i. Salinan passport* pemohon (bagi pemohon yang sudah berada di Syria sahaja).
ii. Salinan kad pengenalan & sijil kelahiran pemohon (bagi pemohon yang berada di Malaysia).
iii. 8 keping gambar peribadi berukuran passport.
iv. 6 salinan setiap sijil asal pemohon & terjemahannya yang telah mendapat pengesahan semula.

*salinan muka hadapan halaman bergambar

PROSEDUR PERMOHONAN

A) Proses Pertama

1- Pemohon yang berada di Malaysia perlu mengirimkan segala dokumennya kepada Persatuan Pelajar Malaysia di Syria untuk diuruskan proses permohonannya.
2- Proses yang akan dilakukan oleh pihak Persatuan Pelajar Malaysia di Syria ialah :

a) Membuat butiran pengenalan diri setiap pemohon (Qaidi Nufus).
b) Pengesahan terhadap setiap salinan sijil & terjemahan sijil pemohon.
c) Mengeluarkan surat sokongan khusus daripada pihak Persatuan Pelajar Malaysia kepada pihak Qiadah Qaumiah (Pentadbiran Kebangsaan Parti Sosialis Arab Al-Baath).

3- Setelah selesai proses tersebut pihak Persatuan Pelajar Malaysia akan menghantar segala dokumen permohonan pemohon kepada pihak Qiadah Qaumiah.
4- Dokumen-dokumen yang dihantar oleh pihak Persatuan Pelajar Malaysia ke Qiadah Qaumiah ialah :

a) Butiran pengenalan diri pemohon (Qaidi Nufus).
b) Salinan setiap sijil & terjemahan sijil pemohon dengan pengesahan.
c) Surat sokongan khusus pihak Persatuan Pelajar Malaysia kepada pihak Qiadah Qaumiah.

B) Proses Kedua

1- Pihak Qiadah Qaumiah akan meneliti permohonan tersebut dan mengeluarkan surat sokongan khusus untuk dihantar ke Kementerian Pengajian Tinggi Syria (Wizarat Taalim ‘Ali).

C) Proses Ketiga

1- Kementerian Pengajian Tinggi Syria akan memproses dan meneliti permohonan tersebut sama ada pemohon layak atau tidak untuk diterima masuk ke Universiti Damsyik berdasarkan fakulti yang dipohon dan peratusan keseluruhan markah yang dicapai pada sijil pemohon mengikut ketetapan markah yang telah mereka tentukan.
2- Kementerian Pengajian Tinggi Syria akan memaklumkan semula kepada pihak Persatuan Pelajar Malaysia di Syria mengenai proses permohonan tersebut dan akan mengeluarkan Permohonan Pendaftaran kepada mana-mana pemohon yang diterima.

D) Proses Keempat

1- Pihak Persatuan Pelajar Malaysia di Syria akan menghubungi setiap pemohon bagi memaklumkan permohonan mereka diterima ataupun tidak.
2- Bagi pemohon-pemohon Malaysia yang berada di Syria yang telah diterima permohonan mereka boleh terus mengambil Permohonan Pendaftaran masing-masing di Kementerian Pengajian Tinggi Syria atau boleh diwakilkan kepada Pihak Pentadbiran Persatuan Pelajar Malaysia Syria untuk mengambilnya.
3- Pengambilan Permohonan Pendaftaran bagi pemohon yang berada di Malaysia diwakilkan kepada Persatuan Pelajar Malaysia di Syria.

MAKLUMAT TAMBAHAN

1- Semua proses permohonan ini hanyalah untuk penuntut-penuntut Malaysia yg mendaftar secara persendirian sahaja dan ianya dikecualikan bagi penuntut-penuntut Malaysia tajaan JPA yang mempunyai MoU dengan kerajaan Syria.
2- Segala permohonan yang dibuat melalui pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia juga akan diuruskan oleh pihak Persatuan Pelajar Malaysia di Syria.
3- Bagi permohonan untuk sesi 2004/2005 pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah mengirimkan segala permohonan untuk pengajian ke Universiti Damsyik kepada Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Amman, Jordan. Jabatan Penuntut Malaysia di Amman telah mengirimkan permohonan tersebut kepada Kedutaan Malaysia di Syria untuk diuruskan dan pihak Kedutaan Malaysia di Syria telah menyerahkannya kepada Persatuan Pelajar Malaysia di Syria untuk diuruskan sepenuhnya.
4- Berhubung permohonan masuk ke Universiti Damsyik untuk penuntut tajaan persendirian, pihak kerajaan Malaysia telah memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada Persatuan Pelajar Malaysia di Syria bagi menguruskan permohonan tersebut.


DOKUMEN YANG DIPERLUKAN UNTUK PENDAFTARAN

Untuk pendaftaran setiap sijil asal & terjemahan sijil tersebut perlu mendapat pengesahan daripada pihak :
1. Kementerian Luar Malaysia
2. Kedutaan Syria di Malaysia

Perkara-perkara yang perlu disediakan untuk pendaftaran ialah :
(sebagaimana terjemahan daripada dokumen asal)

1- Sijil menengah asal & terjemahan sijil yang telah mendapat pengesahan daripada pihak Kementerian Luar Malaysia dan Kedutaan Syria di Malaysia.
2- 3 salinan bagi setiap sijil & terjemahan sijil tersebut yang telah mendapat pengesahan semula.
3- Butiran pengenalan diri (Qaidi Nufus) penuntut atau salinan passport perjalanan yang ditampal dengan setem 3 pound Syria. (Qaidi Nufus akan dikeluarkan oleh pihak Persatuan Pelajar Malaysia di Syria)
4- Permohonan Pendaftaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Syria.
5- Fail Perincian Peribadi (Musannaf Sahab) + Sampul Pendaftaran (Zorof) yang telah lengkap diisi. (fail tersebut boleh didapati di pejabat pentadbiran penuntut di Fakulti Undang-Undang dengan harga 50 pound Syria- RM 38)
6- 10 keping gambar peribadi.
7- Slip Ujian Kesihatan dari Pusat Pemeriksaan Kesihatan Universiti Damsyik.
8- Slip Ujian AIDS dari Pusat Pemeriksaan Aids Damsyik- Zablatoni. (untuk penuntut asing sahaja)
9- Yuran pendaftaran sebanyak 650 pound Syria. (RM 49.40)

YURAN PENGAJIAN

1- Kementerian Pengajian Tinggi Syria melalui pihak Qiadah Qaumiah telah memperuntukkan 5 tempat kosong kepada penuntut-penuntut Malaysia yang bernaung di bawah Persatuan Pelajar Malaysia di Syria untuk diterima belajar di Universiti Damsyik pada setiap tahun dengan bayaran yuran tahunan paling rendah sebagaimana yuran tahunan yang dibayar oleh penuntut-penuntut warganegara Syria.
2- Mereka hanya dikehendaki membayar yuran pendaftaran sebanyak 650 pound Syria (RM 49.40) sahaja bagi pendaftaran tahunan.
3- Bagi penuntut dari Malaysia yang diterima masuk tetapi telah melebihi kuota tersebut perlu membayar yuran pengajian sebanyak 2000 USD pada tiap-tiap tahun.


VISA PENGAJIAN

1- Setelah selesai proses pendaftaran dan menerima resit pendaftaran tahunan, penuntut boleh memohon surat pengesahan pengajian (wasiqah dawam) daripada Pihak Fakulti pada setiap tahun bagi tujuan memperbaharui visa penuntut di Syria dan proses memperbaharui visa penuntut boleh dilakukan di Pejabat Imegresen Damsyik- Baramkah.
2- Tempoh visa pengajian yang diberi kepada penuntut Universiti Damsyik ialah selama 1 tahun dari tarikh pendaftaran pada setiap sesi tahunan pengajian.
3- Visa pengajian tersebut perlu diperbaharui pada setiap kali tarikh tamat tempoh visa.


PENGINAPAN

1- Setiap penuntut yang belajar di Universiti Damsyik layak memohon untuk tinggal di asrama yang telah disediakan oleh pihak universiti.
2- Permohonan boleh dibuat melalui pihak pentadbiran asrama Universiti Damsyik.
3- Yuran asrama yang ditetapkan ialah sebanyak 1900 pound Syria (RM 144.40) bagi setiap semester pengajian.

PENGAJIAN MUSTAMI'
(PENGAJIAN KULIAH UNTUK PENDENGAR UMUM)

PENGENALAN

1- Universiti Damsyik juga telah menyediakan program pengajian yang tidak rasmi kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mengikuti pengajian kuliah secara langsung di universiti ini.
2- Penuntut tidak rasmi yang mengikuti pengajian ini digelar Pendengar (Mustami’) dan dibenarkan untuk menghadiri dan mengikuti pengajian kuliah pada setiap hari berdasarkan fakulti yang dipohon sebagaimana penuntut-penuntut rasmi yang lain namun mereka dikecualikan daripada mengambil sebarang peperiksaan.
3- Mereka juga perlu membayar yuran bagi setiap sesi pengajian yang diikuti.
4- Pendengar yang mengikuti pengajian ini tidak akan menerima sebarang sijil atau ijazah tetapi mereka hanya diberikan Visa Pendengar (Iqamah Mustami’) sahaja bagi setiap sesi pengajian.
5- Fakulti yang dibuka bagi pengajian untuk pendengar umum setakat ini hanyalah :
a) Fakulti Sastera & Sains Kemanusiaan,  Jabatan Pengajian Bahasa Arab.
b) Fakulti Syariah Islamiyah.
6- Matlamat pengajian ini diwujudkan bagi membolehkan sesiapa sahaja khususnya penuntut asing yang ingin mendalami ilmu bahasa Arab dan Pengajian Islam dapat mengikuti pengajian secara langsung di Universiti Damsyik melalui kuliah-kuliah yang disediakan.

 

CARA PERMOHONAN

1- Permohonan hanya boleh dibuat dengan menggunakan Sijil Menengah, Diploma atau Ijazah yang dimiliki oleh pemohon sahaja.
2- Sijil tersebut tidak semestinya sijil yang terkini.
3- Setiap permohonan untuk pengajian ini boleh dilakukan di Pusat Hal Ehwal Penuntut (Syu’un Tullab) Universiti Damsyik pada bila-bila masa sepanjang sesi pengajian rasmi universiti.
4- Kemasukan pengajian ini dibuat melalui temuduga (muqabalah) lisan & bertulis kepada setiap pemohon yang memohon.

DOKUMEN YANG DIPERLUKAN UNTUK PENDAFTARAN
(sebagaimana terjemahan daripada dokumen asal)

1- Surat sokongan daripada pihak kedutaan yang mengatakan :
a) Sokongan pihak kedutaan terhadap pemohon.
b) Pengesahan bahawa pemohon adalah rakyatnya yang sah.
2- 2 salinan bagi surat sokongan tersebut.
3- Salinan passport pemohon tanpa terjemahan.
4- 5 keping gambar peribadi berukuran passport. (3 keping untuk fakulti)
5- Keputusan ujian Aids dari Pusat Pemeriksaan Aids Damsyik- Zablatoni & 2 salinan keputusan tersebut.
6- Fail Perincian Peribadi (Musannaf Sahab)- pemohon boleh mendapatkannya di pejabat pentadbiran penuntut di Fakulti Undang-Undang (Kuliah Huquq) dengan harga 50 pound Syria. (RM 3.80)
7- Terjemahan passport pemohon ke dalam bahasa Arab.
8- Sijil yang dibawa pemohon & terjemahannya ke dalam bahasa Arab.
9- Salinan sijil yang dibawa pemohon.

YURAN PENGAJIAN

• Yuran Pengajian Mustami' bagi setiap sesi pengajian ialah sebanyak 1600 pound Syria. (RM 121.60)

VISA PENDENGAR (IQAMAH MUSTAMI')

1- Pendengar yang mengikuti pengajian ini akan diberikan Visa Pendengar (Iqamah Mustami’) selama 12 bulan bagi setiap sesi pengajian dengan tempoh visa selama 6 bulan bagi semester pertama dan 6 bulan bagi semester kedua.
2- Pendengar perlu memperbaharui visa pendengar tersebut pada setiap semester setelah tamat tempoh 6 bulan visa.
3- Visa pendengar selama 12 bulan tersebut boleh disambung semula pada setiap sesi pengajiaan yang seterusnya dengan cara memperbaharui pendaftaran dan membayar yuran pengajian untuk sesi pengajian yang baru.
4- Pendengar yang mahukan Visa Pendengar diwajibkan hadir ke kuliah berdasarkan kuota kehadiran yang telah ditetapkan bagi membolehkan mereka mendapatkan surat pengesahan pengajian. (wasiqah dawam)
5- Kuota kehadiran kuliah yang ditetapkan bagi Pendengar Universiti Damsyik ialah sebanyak 25 kali kehadiran sahaja pada setiap semester.

 

TAKLIMAT UMUM PENGAJIAN
(sebagaimana terjemahan daripada dokumen asal)

TEMPOH PENGAJIAN

1- Setiap penuntut akan memperolehi ijazah di Universiti Damsyik setelah tamat pengajian selama 4 tahun.
2- Setiap penuntut berhak untuk kekal belajar secara rasmi di Universiti Damsyik sehingga tempoh 8 tahun sahaja sebagaimana yang ditetapkan seperti berikut :
- Tahun Pertama selama 3 tahun.
- Tahun Kedua selama 2 tahun.
- Tahun Ketiga selama 2 tahun.
- Tahun Keempat selama 1 tahun.
3- Kemudian penuntut diberi peluang untuk menyambung pengajian di luar universiti selama 2 tahun (4 semester berturut-turut) jika penuntut tersebut sudah berada di tahun keempat agar dapat memanfaatkan peluang untuk berjaya.
4- Setiap penuntut diberi peluang untuk mengikuti setahun Tahun Mata Pelajaran Berbayar* jika tidak lulus dalam tahun-tahun sebelumnya sebagaimana yang telah ditetapkan sebelum disingkirkan terus dari universiti.

PENANGGUHAN PENDAFTARAN

1- Setiap penuntut berhak untuk menangguhkan pendaftarannya sehingga tempoh 4 semester secara berturutan atau berasingan dan penangguhan itu tidak dikira daripada sesi pengajiannya di universiti.
2- Penuntut yang naik tahun atau lulus yang telah menangguhkan pendaftaran tidak berhak untuk mengikuti peperiksaan dalam mata pelajaran yang telah ditangguhkan pendaftarannya itu kerana penuntut tersebut tidak hadir bagi mengikuti pengajian dalam mata pelajaran tersebut.
3- Penuntut tahun keempat yang sedang mengikuti pengajian di luar universiti tidak berhak untuk menangguhkan pendaftarannya dan tidak diizinkan kepadanyanya surat pengesahan pendaftaran.

NAIK TAHUN DAN LULUS

1- Markah lulus ialah /50/ daripada /100/ markah yang paling tinggi.
2- Penuntut dikira sebagai lulus jika tidak membawa sebarang mata pelajaran.
3- Penuntut dikira layak untuk naik tahun jika telah lulus dalam semua mata pelajaran kecuali 1 hingga 4 mata pelajaran sahaja yang boleh dibawa sebagaimana yang telah disediakan oleh pihak uniersiti.
4- Setiap penuntut yang sedang naik tahun ke tahun yang lebih tinggi berhak pada semester pertama untuk mengambil mata pelajaran dari tahun yang lebih tinggi itu :
- Satu (1) mata pelajaran jika sedang membawa tiga (3) mata pelajaran.
- Dua (2) mata pelajaran jika sedang membawa dua (2) mata pelajaran.
- Dua (2 ) mata pelajaran jika sedang membawa satu (1) mata pelajaran atau tidak membawa sebarang mata pelajaran langsung. (tidak dibolehkan ke atas penuntut untuk mengambil lebih daripada dua mata pelajaran)

 

 

 

 

PANGKAT ILMIAH

Penuntut akan memperolehi sijil ijazah di Universiti Damsyik dengan peratusan dan perkiraan sepertimana berikut :
- Maqbul (lulus) daripada 50 % sehingga 59.99 %
- Jayyid (baik) daripada 60 % sehingga 69.99 %
- Jayyid Jiddan (sangat baik) daripada 70 % sehingga 79.99 %
- Mumtaz (cemerlang) daripada 80 % sehingga 89.99 %
- Sharaf (kehormatan) daripada 90 % sehingga 100 %

KAJIAN ILMIAH ATAU AKTIVITI TAHUNAN

1- Markah kajian ilmiah ialah /20/ daripada pemarkahan penuh peperiksaan /100/. Markah kajian ilmiah yang telah diperolehi penuntut akan dipelihara sehingga penuntut tersebut lulus dalam mata pelajaran kajian tersebut.
2- Penuntut yang sedang digantung satu peperiksaan atau lebih akan disimpan markah kajian ilmiahnya dan akan dicampurkan dengan markah yang telah dicapainya dalam peperiksaan akan datang.
3- Penuntut yang memperolehi markah dalam kajian ilmiah kemudian menjawab soalan tentang kajian tersebut dalam peperiksaan maka markah peperiksaan akan ditetapkan.
4- Penuntut berminat untuk membuat semula kajian ilmiah yang baru untuk menaikkan markahnya boleh mengajukan permohonan bertulis ke dewan fakulti pada waktu yang telah ditetapkan.

PENYINGKIRAN DAN PENGGANTUNGAN

1- Penuntut tahun pertama akan disingkirkan dari universiti jika telah gagal dalam tahun pertama selama tiga (3) tahun.
2- Penuntut tahun kedua akan disingkirkan dari universiti jika himpunan tahun-tahunnya selama dua tahun (tahun pertama + tahun kedua) telah berjumlah lima (5) tahun.
3- Penuntut tahun ketiga akan disingkirkan dari universiti jika himpunan tahun-tahunnya sehingga tahun ketiga telah berjumlah tujuh (7) tahun dan tidak naik tahun atau lulus.
4- Penuntut tahun keempat akan disingkirkan dari universiti jika himpunan tahun-tahunnya sehingga tahun keempat telah berjumlah lapan (8) tahun dan tidak naik tahun atau lulus. (dan dibenarkan untuk mengikuti empat semester pengajian selanjutnya secara berturut-turut di luar universiti) :
- Penuntut yang sedang menghabiskan pengajian di luar universiti tidak berhak untuk memohon kursus tambahan.
- Penuntut yang sedang digantung satu peperiksaan atau lebih hanya akan disimpan markah kajian ilmiahnya sahaja.
- Penuntut yang sedang digantung satu peperiksaan atau lebih layak untuk berdaftar dan tidak dikira penggantungan itu dari tempoh pendaftaran.
- Penuntut yang sedang mengikuti setahun Tahun Mata Pelajaran Berbayar akan disingkirkan secara mutlak dari universiti sekiranya gagal dalam tahun tersebut.

*Tahun Mata Pelajaran Berbayar-
Penuntut dikehendaki membayar yuran untuk setiap mata pelajaran yang ingin diambil bagi membolehkannya naik tahun atau lulus sebelum disingkirkan secara mutlak dari universiti. Kursus ini disediakan sebagai peluang terakhir kepada penuntut yang telah gagal dalam tahun-tahun pengajian yang telah ditetapkan.

Maklumat ini disediakan oleh:
Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS)
www.e-ppms.org