Khamis 09 September 2010
Saiz Teks
   

PERUTUSAN PRESIDEN PPMS SEMPENA SAMBUTAN KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-52

AddThis Social Bookmark Button

perutusan_presiden Salam Ramadhan, salam kemerdekaan…Alhamdulillah, kesyukuran kita panjatkan kepada Allah S.W.T. kerana di kala ini masih lagi kita diberi peluang untuk terus menikmati segala keagungan nikmat yang dikurniakan kepada kita sebagai hamba di dunia ini. Kita perlu rasa lebih bersyukur apabila kita juga masih diberi peluang untuk sekali lagi berada di dalam bulan Ramadhan yang datang dengan membawa rahmat dan keberkatan. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang mensyukurinya dengan mentaati segala perintah Allah, memelihara kualiti puasa dan menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah kerana Ramadhan bukan sahaja bulan puasa, tetapi ia juga bulan ibadah, bulan al-Quran, bulan silaturrahim, bulan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan, bulan memisahkan antara hak dan batil. Sabda Rasulullah S.A.W. :

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan

Allah, maka Allah akan mengampuni segala dosanya yang terdahulu”   -Riwayat Bukhari-

 

52 TAHUN


Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian,

Dalam kelajuan masa yang berputar kini, tanpa kita sedari, pada hari ini telah genap 52 tahun kita meraih kemerdekaan bagi tanah air kita yang tercinta. Satu kesyukuran besar yang harus kita panjatkan kepada Allah S.W.T. di atas nikmat kebebasan dan kemerdekaan yang telah anah air kita nikmati menjangkau setengah abad yang lalu. Mudah-mudahan nikmat kebebasan dan kemerdekaan ini akan berterusan sampai bila-bila. Rasa bersyukurnya kita kerana pada tahun ini sambutan kemerdekaan tanah air kita diraikan dalam bulan Ramadhan yang penuh mulia iaitu satu bulan yang kita katakan sebagai bulan yang menatijahkan kemenangan kepada umat Islam. Bulan Ramadhan inilah yang telah menjadi saksi kepada pelbagai siri kemenangan umat Islam dalam meraih kebebasan dan kemerdekaan yang hakiki bagi agama Islam dan umat Islam secara khususnya.Dalam meraikan kemerdekaan pada tahun ini, marilah kita sama-sama mengambil ibrah dan iktibar dalam satu peristiwa besar kemenangan dan kemerdekaan umat Islam dalam bulan Ramadhan iaitu peristiwa Pembukaan Kota Mekah atau lebih dikenali dengan peristiwa   ‘Fathul Makkah’.


FATHUL MAKKAH


Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Rasulullah S.A.W. telah membuktikan kepada kita bahawa beliau sebenarnya adalah pahlawan kemerdekaan yang cukup hebat. Kejayaan   ‘Fathul Makkah’ yang diraih melalui pragmatis dan ketajaman fikiran Baginda S.A.W. sewaktu Perjanjian Hudaibiah akhirnya menatijahkan kemenangan yang cukup bermakna bagi umat Islam.


Tindakan Rasulullah S.A.W.  dalam memecahkan 360 patung berhala di sekeliling Kaabah seusai berjaya masuk ke  Kota Mekah adalah tanda kemerdekaan hakiki yang diraih oleh umat Islam.  Satu konsep yang diajar Nabi S.A.W. dalam mengisi kemerdekaan yang hakiki ialah dalam sabdanya ketika sedang memecahkan patung-patung berhala di sekeliling Kaabah :


“Telah datang akan kebenaran dan telah terhapusnya kebatilan. Sesungguhnya telah datang

kebenaran dan sesekali tidak akan datang lagi kebatilan itu..”


Maka, dengan serta merta terkambuslah seluruh Jahiliah Quraish yang keji bersama segala adat dan tradisinya. Betapa pentingnya nilai konsep ini untuk kita praktikkan bagi meraikan kemerdekaan yang hakiki dalam diri kita seiring dengan kemerdekaan tanah air yang kita kecapi kini.


HEGEMONI (pengaruh atau dominasi sesebuah negara ke atas negara-negara lain)


Mungkin kita sudah terasa selamat dan merdeka dari hegemoni kenegaraan dari golongan penjajah, tetapi hakikat realiti yang sebenarnya adalah umat Islam sebenarnya masih belum merdeka kerana hegemoni pemikiran oleh pihak penjajah telah berjaya merosakkan kemerdekaan hakiki yang sepatutnya diraih oleh umat Islam.Zionis dan pihak Barat telah menunjukkan keberjayaan dalam perancangan mereka apabila berjaya mempengaruhi Umat Islam dalam mengikuti jejak langkah mereka. Walaupun mereka tidak lagi menjajah tanah air kita secara mutlak, namun pemikiran umat Islam hari ini telah diracuni dengan 1001 anasir negatif melaui isme-isme yang dicetuskan tanpa kita sedari. Hegemoni pemikiran membuktikan sebenarnya kita masih belum benar-benar berjaya dalam meraih kemerdekaan yang hakiki. Sebagaimana firman Allah S.W.T. :

“Dan tidak sekali-kali golongan Yahudi dan Nasrani akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti mereka..”   -al-Baqarah : 120-


MERDEKA HAKIKI


Para tetamu Ramadhan yang dirahmati sekalian,Justeru biarlah kemerdekaan kita pada kali ini adalah kemerdekaan yang hakiki dengan kita membersihkan hegemoni pemikiran Barat yang telah menular masuk sedikit demi sedikit dalam kehidupan kita. Virus yang menjadikan pemikiran manusia untuk lebih mengagung-agungkan Taghut dari ketuanan Islam seharusnya disucikan dan dimurnikan dengan rasa penuh kehambaan dan ketaqwaan diri kepada Allah dalam kita meraikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini. Semoga kemerdekaan kita pada tahun ini akan menatijahkan kemerdekaan yang hakiki dengan kita menyingkirkan segala hegemoni pemikiran penjajah dalam diri kita sebagaimana Rasulullah telah menyingkirkan segala kebatilan Taghut ketika peristiwa bersejarah Pembukaan Kota Mekah.


Sempena Ramadhan yang mulia ini, saya menyeru agar kita tidak sambil lewa sebaliknya bersungguh-sungguh dalam memelihara kualiti ibadah puasa kita guna me’mukat’ tawaran-tawaran hebat Ramadhan. Kita bukan sekadar menjaga makan, minum dan perkara membatal pada lahiriah sahaja, sebaliknya mari kita pelihara seluruh anggota tubuh badan kita bermula dengan mata agar tidak melihat perkara yang diharamkan, memelihara telinga dari mendengar perkara yang tidak mendatangkan manfaat, memelihara makanan, minuman sewaktu berbuka dan bersahur agar tidak dari tangan-tangan yang fasiq, dan tidak melakukan pembaziran. Awasilah apa yang akan disuap ke mulut, kerana ia akan menjadi darah daging, peliharakan ia agar hati tidak menjadi keras dan akhirnya menghilangkan kelazatan ibadah.

Moga-moga kemerdekaan kita pada tahun ini lebih bermakna.

Salam Kemerdekaan, Salam Ramadhan.


- Hairul Faizal Bin Isa -