Ucaptama Presiden PPMS sesi 2009
MUQADDIMAH "Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.14. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari pada-Nya; jika Kami menyembah yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran. (Al-Kahf : 13-14)
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Rabbul ‘alamin, atas limpah hidayah dan kurnia-Nya, kita semua masih lagi beristiqamah dengan nikmat Islam dan iman. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan doa kita kepada seluruh para pejuang Islam sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah mempersaksikan perjuangan mereka. Firman Allah SWT tadi memberi gambaran sikap anak muda yang tegas dan tegar dalam berjuang untuk membangunkan tauhid di persada alam ini sehingga mereka sanggup meninggalkan kampung halaman, keluarga, harta benda dan kedudukan. Marilah kita terus beriman dengan aqidah perjuangan ini dan sepenuhnya yakin dengan janji Allah untuk kemenangan dunia dan akhirat, walaupun banyak dan susahnya cabaran serta jauhnya perjalanan. Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, Apabila kita mencermati gelodak perubahan masyarakat di negara kita, satu isyarat jelas yang dihantar oleh masyarakat bahawa mereka mencari alternatif kumpulan atau generasi kepimpinan baru yang mampu membawa rakyat Malaysia kepada kehidupan baru yang lebih bermakna. Kita juga menyaksikan perubahan trend apabila masyarakat dan rakyat mula berani mempertaruhkan keyakinan kepada kepada golongan ustaz (dan ustazah) atau agamawan. Perubahan ini perlu dilihat oleh kita sebagai satu cabaran untuk tidak mensia-siakan perubahan keyakinan dan kecenderungan yang berlaku. Di sebalik perubahan positif ini, kita masih mendengar kritikan-kritikan yang meragui kompetensi golongan agamawan di dalam mentadbir, mengurus dan memimpin masyarakat. Golongan agamawan masih dilihat tidak mampu mewakili suara masyarakat keseluruhannya. Penguasaan ilmu-ilmu syariah semata-mata dilihat tidak lagi memadai di dalam dunia yang memerlukan kemampuan dan kekuatan pengurusan, teknologi maklumat, komunikasi, keupayaan teknikal organisasi di samping kepakaran-kepakaran tambahan seperti ekonomi, sains dan teknologi, pentadbiran perundangan dan seumpamanya.Justeru, sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan, kita harus mengetahui apakah perisian-perisian terkini yang diperlukan bagi memenuhi kehendak dan tuntutan semasa. Maka atas menyedari tuntutan semasa ini, kepimpinan Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) pada sesi ini sekali lagi mengangkat motto "Memacu Perubahan, Merintis Kegemilangan" sebagai tema dan visi sesi ini. Golongan agamawan yang ingin kita lahirkan adalah mereka yang mempunyai kekuatan ilmu yang mantap, fikrah yang jelas, sikap, minda dan pemikiran kelas pertama, kepakaran dan kemahiran yang pelbagai serta komited kepada amal Islami. Visi ini akan dijayakan melalui beberapa agenda yang telah diatur dan memerlukan pelaksanaan bersama di semua peringkat.
BEKALAN SEPANJANG PERJUANGAN
Sahabat-sahabat yang dikasihi,Menyedari tarbiahmerupakan paksi kepada kekuatan mana-mana persatuan, seharusnya kita di peringkat PPMS mesti bersungguh-sungguh mengambil berat tentang perjalanan tarbiah. Setelah sekian lama, kita mendapati terlalu banyak lompang yang masih perlu ditampung. Perjalanan tarbiah yang lalu tidak mampu melahirkan ahli-ahli PPMS yang berwibawa dan berjiwa daie. Kita hanya ingin berada di zon selesa , tidak mahu berjiwa perubah dan membawa mesej Islam kepada orang lain. Akibatnya kita bagai "katak di bawah tempurung" dan kita langsung tidak menjadi model kepada mad'u kita. Ini adalah berpunca dari perasaan tidak bertanggungjawab kita dan kekeringan rohani kita dalam dakwah. Kita sepatutnya bersatu menjayakan misi tarbiah ini bersama-sama. Dengan penuh rasa tanggungjawab, kita tidak sepatutnya hanya melepaskan peranan menjayakan perjalanan tarbiah hanya kepada biro atau lajnah tarbiah. Matlamat kita tidak hanya ingin melahirkan pimpinan peringkat persatuan, malah kita ingin melahirkan tokoh-tokoh yang mampu membawa perubahan di peringkat negeri dan negara. Kita ingin terus membuktikan bahawa golongan agamawan mampu, perlu dan mesti memimpin ummah selari dengan ajaran Allah SWT. Oleh sebab itu, perjalanan PPMS yang kita cadangkan pada sesi ini akan menekankan konsep perubahan sikap dan penguasaan semua bidang yang diperlukan untuk memimpin umat Islam di Malaysia. PPMS akan cuba sedaya upaya untuk merealisasikan takrif ulama' yang mahsyur : ?????? ?? ?? ???? ????? ?? ?? ??? ????? ?? ??? ?? ???" Ulama' ialah orang yang mengetahui sebahagian perkara dalam semua bidang, dan mengetahui semua perkara dalam satu bidang yang dikhususkan" Jalan perjuangan ini memang panjang dan akan berhadapan seribu satu ujian dan halangan. Oleh itu kita sememangnya memerlukan bekalan sepanjang jalan perjuangan ini. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :"Maka sebaik-baik bekalan itu adalah taqwa" (Al-Baqarah : 197) Bekalan inilah yang berupaya memenuhi hasrat perjuangan yang tiada hentinya. Bekalan ini berguna bagi orang yang sihat, ia menguatkannya dan menolongnya tetapi bagi orang yang jiwanya kerdil dan sakit, tiada satu apapun bekalan yang berfaedah untuknya. Oleh itu, mohonlah kepada Tuhan Rabbul Jalil agar bekalan perjuangan kita tidak kehabisan di tengah-tengah perjalanan. Medium diskusi merupakan medium terpenting dalam menjayakan misi perubahan. Kita masih lagi lemah dalam pelaksanaan diskusi. Diskusi dilihat tidak menarik dan hanya tempat pembentangan dan bersembang. Lebih teruk lagi, ia dianggap satu paksaan oleh sebilangan ahli. Bagi menjadikan diskusi lebih menarik dan efektif, seharusnya ia dimajukan dari setiap sudut komponen diskusi sama ada naqib, ahli diskusi, manhaj dan juga cara pelaksanaan diskusi. Diskusi sepatutnya dilihat segar dan diminati oleh semua serta mampu menjadi medan pembinaan jiwa dan jatidiri yang berkesan.
ANJAKAN PARADIGMA DAN MENTALITI
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,Kita sebagai pelapis seharusnya pandai membaca keadaan yang ada sekarang di mana ia memberi signal yang jelas kepada kita bahawa masyarakat menanti-nanti pelapis kepimpinan ulama yang bakal menggantikan pimpinan sekarang. Kita perlu bersedia dari aspek mental, fizikal dan spiritual dalam menghadapi dimensi baru ini. Ahli PPMS tidak boleh lagi berada di takuk yang lama, memikirkan perkara-perkara yang remeh, membincangkan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang ‘lagha'. Amat mendukacitakan sebagai abna' al-Islam, kita masih lagi tidak mampu merubah perangai mendengar lagu-lagu rock, lagu-lagu barat yang melalaikan, melihat filem-filem dan cerita-cerita yang sememangnya tidak layak bagi seorang muslim, apatah lagi sebagai tolib al-‘ilmi. Budaya ber'kampung' di cyber café, berdating, ikhtilat bebas, akhawat keluar malam, merokok di tempat awam semakin menular di kalangan pelajar Malaysia, lantaran kurangnya budaya amar makruf nahi munkar di antara kita. Maka dengan itu, pembudayaan amar makruf nahi munkar atau ringkasannya AMANAHMU, perlu dibiasakan sesama kita. Kita juga masih lagi tidak mampu menjaga akhlak kita sebagai pelajar ilmu agama ditambah pula berada di bumi anbiya' lagi barakah. Kita merasa pelik mengapa kita tidak boleh menjadi baik sedangkan kita berada di tempat yang baik dan dikelilingi oleh orang-orang yang baik dan para ulama'. Semua ahli mesti faham bahawa PPMS hanya mampu untuk membuka peluang dan menunjukkan jalan, akhirnya diri kita sendirilah yang menentukan. Kita harap dengan program-program yang diaturkan terutama program rohaniah, ia mampu mendapat sambutan daripada ahli dan ahli meneruskannya walau ketika bersendirian. Janganlah kita masih mengharapkan untuk kita sentiasa ‘disuapkan', sebaliknya kita perlu berdikari dan kreatif mencari alternatif yang berkesan setelah kita dibuka jalan oleh PPMS. Tanamkan dalam diri kita bahawa kitalah yang perlu merubah dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Tekadkan azam dan bulatkan niat untuk kita jadikan tarbiah yang kita terima satu suntikan yang amat mujarab dalam merubah diri kita kepada yang lebh baik dan bersedia merubah masyarakat.
PEMERKASAAN AKADEMIK
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,Dalam menjayakan misi perubahan ini, semestinya ia tidak dapat dipisahkan dengan ilmu. Melihat keadaan yang ada sekarang, kita sepatutnya bermuhasabah kembali kerana usaha kita amat sedikit dalam membudayakan ilmu sedangkan kita berada di lembah dan lubuk ilmu syariah. Kita perlu menekankan kembali ke arah melahirkan ahli PPMS yang cemerlang dalam pelajarannya serta cemerlang sahsiahnya. Kegagalan kita dalam peperiksaan tidak seharusnya berlaku. Justeru, kita perlu sama-sama memastikan tidak ada di antara kita yang gagal dalam pelajarannya (sifar gagal). Penumpuan terhadap kehadiran ke kuliah dan pembelajaran yang bersistem perlu diberi perhatian selain pengajian talaqqi khususi dan umumi. Amatlah malang sekiranya ada di antara kita tidak melazimi walaupun satu kelas talaqqi. Bagaimana budaya ilmu boleh hidup dalam PPMS seandainya tiada usaha dibuat ke arah tersebut. Oleh itu, bagi memastikan misi pembudayaan ilmu ini berjaya, jentera akademik akan diperkasakan dengan pelaksanaan "Karnival Talaqqi" bermula dari awal tahun lagi, juga penubuhan "Risalah al-Thaqafah" serta siri-siri perjumpaan diskusi boleh diaplikasikan kepada pembudayaan ilmu. Diskusi kutaib boleh dibuat selain projek-projek ilmiah seperti penterjemahan kitab, penterjemahan video, kajian ilmiah dan ulasan isu boleh dilaksanakan atas platform diskusi. Banyak cadangan yang boleh dilaksanakan, hanya tinggal kita untuk menentukan.
AGENDA PENERANGAN YANG BERKESAN
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,Jentera penerangan merupakan nadi utama kepada PPMS dalam memastikan ahli mendapat maklumat yang tepat dan terkini. Melihat kepada jentera penerangan kita masih lagi berada di tahap yang lemah, kita merasakan perlunya dipertingkatkan selari dengan tuntutan semasa supaya maklumat yang disampaikan lebih berkualiti. Oleh itu, bagi menjayakan misi PPMS, jentera penerangan hendaklah digerakkan dan diperkasakan dengan lebih kreatif melalui medium yang sedia ada seperti web, blog, majalah Itqan dan sebagainya. Penubuhan "Warkah MYSY" (shabab) dan "Mufakkirah al-Mukminah" (akhawat) sesi ini, merupakan satu alternatif baru dalam penjanaan semula jentera penerangan bagi menyalurkan maklumat dengan berkesan dan tepat kepada ahli. Walaupun begitu kita masih lagi mempunyai kelemahan dari segi kemahiran dalam mengolah isu, kecekapan dalam menggunakan ICT dan gaya penyampaian yang masih tidak kreatif. Segala perancangan ini tidak akan berjaya sekiranya tiada sokongan yang padu daripada ahli.
KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
Dalam melonjakkan ahli kepada satu perkara yang lebih baik, pimpinan perlu menunjukkan contoh yang baik dalam segenap aspek sama ada akhlak, akademik mahupun ibadah. Kegagalan pimpinan berbuat demikian menyebabkan ahli hilang thiqah kepada kepimpinan yang ada. Kita berharap kepimpinan di semua peringkat sama ada exco PPMS, BKAN mahupun BKAS perlu mengembalikan keizzahan pimpinan supaya roh perjuangan dan pengorbanan dapat kembali dan kekal kepada ahli sekaliannya.
KHATIMAH
Jika dilihat dari senarai perancangan yang dinyatakan, kita begitu komited PPMS mampu melonjak jauh ke hadapan sekiranya apa yang dirancang benar-benar mampu diterjemahkan di dalam tindakan. Namun percayalah, apa yang kita dengar pada hari ini akan tinggal omongan kosong dan retorik semata-mata sekiranya kita gagal memenuhi pra-syarat terakahir sesuatu perubahan. Pra-syarat yang dimaksudkan ialah kesediaan dan kesungguhan setiap dari kita di sini untuk berubah pemikirannya, sikapnya dan tindakannya. Berubah dari diam kepada bersuara, berpeluk tubuh kepada bekerja, menunggu kepada meminta, melihat kepada mengislah, mengkritik kepada mencadang, meruntuh kepada membina, tertutup kepada terbuka, khilaf kepada wehdah.Maka, marilah pada hari ini kita memasang pasak dan tekad bagi melihat suasana baru PPMS yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang, agar lahir generasi kepimpinan ulama yang mampu memacu momentum perubahan bagi memimpin masyarakat ke arah pembentukan ummah rabbani yang sama-sama kita impikan. Sangat wajar kita mengutarakan pandangan ini bagi memperingatkan tentang firman Allah SWT yang bermaksud :"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana peringatan memberi manfaat kepada orang yang beriman" (Al-Zariyat : 55)Salam juang!
"MEMACU PERUBAHAN, MERINTIS KEGEMILANGAN"
"BERILMU BERAMAL BERISTIQAMAH"
Hairul Faizal Bin Isa
Presiden PPMS
Sesi 2009



