Khamis 09 September 2010
Saiz Teks
   

SYAWAL UNTUK MERAIH KEMENANGAN

AddThis Social Bookmark Button

Setelah hampir sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan, akhirnya Syawal menjelang tiba. Maka, seluruh umat Islam digalakkan bergembira untuk meraikannya.

 

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan takbir ketila tibanya Aidilfitri ini sebagai tanda kesyukuran kita yang tidak terhingga kepada Maha Pencipta. Firman Allah di dalam Al-Quran ;

 

"Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." - Surah Al Baqarah : 185-

 

Banyak lagi perkara-perkara sunat yang telah dianjurkan oleh Nabi kita agar kita sama-sama meraikan Aidilfitri ini dengan penuh makna dan penuh rasa kehambaan kepada Allah s.w.t.

Syawal Tanda Kemenangan

Hari Raya Aidilfitri ialah hari meraikan kemenangan dan kesyukuran kepada umat Islam sehingga 1 Syawal adalah hari yang tertegahnya kita berpuasa padanya. Setelah hampir sebulan kita berpuasa menahan lapar dan dahaga, berterawih, bersedekah, dan pelbagai lagi amal kebajikan yang telah kita lakukan, mudah-mudahan kita akan mendapat ganjaran TAQWA yang telah ditawarkan oleh Allah s.w.t kepada kita di bulan Ramadhan yang lalu.

Aidilfitri adalah hari perayaan dan dikatakan sebagai hari kemenangan buat umat Islam ialah sebagai tanda telah berjayanya kita menundukkan nafsu dan menewaskan sifat syaitan yang ada dalam diri kita sepanjang bulan Ramadhan.

Sebab itulah Hari Raya Aidilfitri ini disebut sebagai Eid Fitri. Ini adalah kerana Hari Raya Aidilfri yang disambut ini menunjukkan kembalinya manusia kepada fitrahnya setelah menjalani proses pembersihan selama sebulan di bulan Ramadhan.

Manusia menjadi kembali kepada bersih sebagaimana mula-mula dilahirkan setelah Madrasah Ramadhan telah mendidik jiwa dan nafsu mereka menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah.

Memaknai Syawal Dengan Taqwa

Firman Allah s.w.t ;

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas generasi sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” - Surah al-Baqarah : 183 -

Al-Quran menunjukkan bagaimana Ramadhan itu adalah proses yang sangat baik untuk mendapatkan TAQWA dalam diri manusia. Justeru, segala amalan dan ibadah kita di bulan Ramadhan sebenarnya adalah satu proses yang cantik dalam mendatangkan TAQWA dalam diri kita.

Sebagai hamba yang dijanjikan Taqwa di bulan Ramadhan, seharusnya kita juga adalah hamba yang benar-benar bertaqwa sejurus tamatnya Ramadhan. Taqwa tersebutlah yang akan menjadi benteng buat diri kita untuk menghadapi ujian nafsu dan syaitan di bulan-bulan yang lain.

Firman Allah di dalam Al-Quran ;

Kitab (Al-Quran) itu tidak syak lagi menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Surah Al-Baqarah : 2 –

Sebagaimana yang kita maklum bahawa Al-Quran adalah sebagai manual book dalam memberikan pengajaran dalam kehidupan seharian kita khususnya buat orang-orang yang bertaqwa. Terlalu banyak pengajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara.

Justeru, marilah kita sama-sama memaknai Syawal ini dengan sifat Taqwa yang diperolehi di bulan Ramadhan dengan mentaati segala perintah dan larangan Allah yang telah terkandung di dalam Al-Quran kerana ia menjadi satu simbol yang menunjukkan keberkesanan ibadah kita di bulan Ramadhan benar-benar menatijahkan Taqwa di dalam diri kita.

Namun seandainya perkara yang sebaliknya berlaku, percayalah sebenarnya kita adalah termasuk di kalangan orang yang rugi.

Hanya mereka yang menjadikan Ramadhan sebagai medan tarbiyah untuk meraih Taqwa sahaja yang akan menggamit kemenangan di Aidilfiri ini dengan penuh makna.

Jadi, kita pula bagaimana?

Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan mereka yang meraih Taqwa. Ameen

Al-Faqir Ila Allah,

Muhamad Azan Safar