Berita HELWI
HARI KELUARGA HELWI 2009
HARI KELUARGA HELWI 2009
Marj Sultan Nulleh, 10 & 11 Ogos : Berlangsungnya program Hari Keluarga Helwi adalah salah satu inisiatif untuk merapatkan ukhuwah di kalangan ahli Dewan Helwi, PPMS. Tapi sayangnya kemeriahan yang diharapkan daripada program tersebut hanya dapat dikongsi bersama lebih kurang 30 orang akhawat kerana kehadiran tidak begitu memberangsangkan disebabkan masing-masing mempunyai tugasan tersendiri.
Walau bagaimanapun, kesyukuran dirafaqkan ke hadrat Ilahi, melalui Ukht Mukarramah Mohamed Anuar selaku Pengarah Program kerana telah berjaya melangsungkan agenda tahunan itu. Kehadiran yang sedikit tidak memberi maksud program tersebut tidak dapat dijalankan. Ukht Khairul Bariah Ahmad, Ketua Dewan Helwi 2009 dalam ucapan perasmiannya sempat memberikan tasyji’ dan ucapan tahniah kepada seluruh pelaksana program kerana walaupun kehadiran adalah sedikit tetapi yang lebih kita utamakan adalah kualiti dan bukannya kuantiti. Kita jangan berputus asa dalam membuat kerja-kerja Islam kerana dalam melaksanakan kerja-kerja Islam pasti ada cabarannya. Pada awal pengucapan perasmian, beliau telah menyentuh siri-siri sejarah kehebatan Islam bagaimana Islam dapat menakluk dunia dengan keadilan dan kebaikan.
Beliau menambah lagi dalam ucapan perasmian tersebut dengan memberi peringatan-peringatan terhadap akhawat Syria yang kini dalam sedar atau tidak sedang diuji dengan cabaran dan ujian melalui fenomena-fenomena utama yang disebutkan iaitu yamee, download wayang Korea yang masih berlaku, adab-adab dalam berpakaian, ikhtilat antara syabab dan akhawat dan pengamalan solat jemaah di kalangan ahli bait. Budaya-budaya ini menjadi penekanan dan seharusnya akhawat-akhawat Syria yang tergolong sebagai golongan agama, bijak menilai dalam melakukan sesuatu tindakan kerana ia akan menjadi titik tolak kepada persoalan adakah dengan kita memiliki sikap-sikap ini kita mampu mewarisi jejak-jejak para pejuang agama Allah yang telah bertarung dan bertemu syahid seperti para syuhada dulu? Lebih malang lagi bagi kita jika dalam sehari pun tidak mampu untuk menyentuh al-Quran, jadi jangan ditanya mengapa hati menjadi keras? Bila hati telah keras, maka mulalah kita mencari-cari hiburan-hiburan lain seperti tadi.
Program dua hari yang berlangsung itu menyajikan program dan modul menarik untuk mengisi masa santai para peserta termasuk sesi taaruf, tazkirah, modul ukhuwah, BBQ pada malamnya dan ceramah kesihatan khas berkenaan tentang kesihatan wanita pada keesokan paginya. Semua peserta program yang terlibat dapat merasakan natijah daripada program tersebut terutama dapat merapatkan ukhuwah sesama ahli akhawat. Program tersebut hanya selesai pada ada pukul 6.30 petang esoknya. Semua peserta meninggalkan tempat penginapan selama 2 hari 1 malam itu dengan tersenyum gembira walaupun dalam keadaan keletihan.



