Majlis perpisahan Dato' Duta
Midan, 9 MAC - Satu majlis perpisahan peringkat PPMS telah diadakan dengan kehadiran semua pimpinan PPMS baru (2010) dan lama (2009) serta seluruh kakitangan kedutaan bersama keluarga masing-masing. Majlis yang bermula pada jam 8.45 malam itu telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan presiden PPMS, Ustaz Nasruddin Mohamed Noori.
Dalam kalamnya, presiden menyebut hubungan baik antara kedutaan dan PPMS telah bermula sejak Konsulat kedutaan ditubuhkan lagi iaitu pada tahun 2001. Presiden juga memuji serta berterima kasih kepada Dato' Duta yang telah bersungguh-sunguh membantu ahli PPMS secara khususnya dan rakyat Malasyia amnya terutama dalam isu visa pelajar. Dato' juga telah berjaya membantu PPMS dalam menerima bantuan kewangan luar daripada syarikat korporat Malaysia di Syria mahupun rombongan kerajaan yang telah berkunjung ke Syria.
Dato’ Duta dalam ucapannya pula menceritakan peranan sebenar kedutaan iaitu menjaga hubungan di antara Malaysia dan tuan rumah serta menjaga kebajikan rakyat Malaysia di negara tersebut. Dato’ juga menegaskan mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa kedutaan adalah wakil kerajaan tetapi sebenarnya duta ialah wakil negara yang berhubung secara terus di bawah Yang di Pertuan Agong.
Dato’ juga berharap agar segala urusan kebajikan seperti isu visa dan juga isu pengiktirafan yang telah beliau bangkitkan dalam pertemuan bersama Dato’ Masyitah Ibrahim dan rombongan Majlis Agama dapat terus diperjuangkan selepas ini. Dato’ juga berharap agar lepasan mahasiswa di syria tidak hanya sibuk dengan alam pekerjaan sahaja, bahkan juga berkecimpung dengan dunia masyarakat dan PPMS adalah jalan yang paling mudah untuk belajar berkecimpung dengan alam pekerjaan dan dunia masyarakat.
Majlis berakhir dengan persembahan lagu perpisahan oleh Ustaz Ali dan penyampaian cenderamata daripada PPMS untuk Dato’ Duta. Beliau yang telah berkhidmat di sini hampir dua tahun terkenal dengan seorang yang ramah dan suka berseloroh. Beliau telah berkhidmat di sini bermula pertengahan bulan Ogos 2008. Selepas ini,Dato’ akan meneruskan perkhidmatannya di Belgium, Jerman.
Kepada Tuan Yang Terutama, Dato Duta Malaysia ke Syria; Jasamu dikenang,pemergianmu dirasai. Moga meneruskan khidmat cemerlang dan menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara walau di mana Dato’ berada.




