Diskusi Gabungan Keluarga Helwi
Medan,03 Julai 2007 - Lajnah Tarbiah dan Dakwah telah menganjurkan Diskusi Gabungan antara siswi kali pertama di Rumah Pentadbiran PPMS yang melibatkan seramai 47 orang siswi .
Diskusi gabungan tersebut telah dikendalikan oleh ketua Unit Diskusi sendiri iaitu saudari Shaudah Mohd. Diskusi ini telah disampaikan oleh dua orang siswi tahun akhir di Mujamma’ Sheikh Ahmad Kiftaro iaitu saudari Amal Mohd dan Nor Suriani Nordin.
Diskusi ini juga turut disajikan dengan ruangan isu semasa yang disampaikan oleh tetamu jemputan khas Puan Zuryati Yasin bekas pelajar lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia, sarjana muda kepujian Biologi Diploma Pendidikan Sains dan Matematik. Beliau juga seorang yang bergiat aktif dalam sebuah badan NGO di Malaysia.
Antara tajuk-tajuk yang dibentangkan, tafsir surah An- Nur berkenaan dengan “ hukum pandangan dan pemakaian tudung”. Tajuk kedua membahaskan tentang hukum Feqah yang berkaitan dengan “kriteria pemakaian muslimah”.
Tajuk terakhir yang membincangkan mengenai isu semasa yang berlaku di Malaysia. Antaranya, kes janayah, hiburan tanpa batasan dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang melibatkan setiap golongan masyarakat ke tahap yang amat kritikal. Beliau juga memaparkan beberapa potongan akhbar yang melaporkan mengenai masalah gejala sosial masyarakat Malaysia yang semakin meruncing masa kini.
“masalah sosial adalah perkara-perkara yang negatif yang berlaku dan bertentangan dengan undang-undang, gejala sosial adalah perkara-perkara yang negatif yang berlaku dan bertentangan dengan agama tetapi tidak semestinya bertentangan dengan undang-undang ”, ujar Puan zuryati Yasin.
“Gejala sosial yang berlaku berpunca dari neraca pertimbangan manusia yang tidak dapat membuat penilaian sehingga melibatkan agama dan juga maruah”, ujar beliau lagi.
Rata-rata para hadirin melahirkan rasa puas hati dengan santapan ilmiah yang dihidangkan oleh pihak penganjur. Majlis ini telah berjaya memberi suntikan motivasi buat para hadirin bagi meneruskan jalan dakwah kepada masyarakat di Malaysia khususnya. Diskusi ini juga telah menguatkan lagi ukhuwah sesama ahli HELWI. Majlis yang bermula selama 4 jam diakhiri dengan bacaan doa oleh saudari Noor Afiyah Kadir selaku ketua HELWI Sesi 2007 serta taujihat beliau kepada ahli HELWI untuk memperbaiki diri menjadi siswi yang berjaya di segenap sudut.



